:

Ayub 32

Ucapan Elihu 1

Oleh sebab Ayub yakin bahawa dia tidak bersalah, tiga orang sahabat itu tidak menjawab lagi.

2

Tetapi di situ ada seorang yang tidak dapat menahan geramnya, kerana Ayub menyalahkan Allah dan mengaku dirinya tidak bersalah. Namanya Elihu anak Barakheel, seorang keturunan Bus, daripada puak Ram.

3

Dia juga marah terhadap tiga orang sahabat Ayub itu kerana mereka tidak dapat menjawab Ayub, walaupun mereka menyalahkan dia.

4

Elihu yang termuda antara mereka. Oleh itu dia menunggu sehingga setiap orang sudah bercakap.

5

Setelah dia melihat tiga orang itu tidak dapat menjawab Ayub, dia menjadi marah

6

dan berkata demikian,

"Aku ini masih muda, sedangkan kamu sudah tua,

oleh itu aku takut dan ragu-ragu mengemukakan pendapatku.

7

Fikirku, biarlah yang sudah lanjut usia bercakap,

dan yang lebih tua membahagikan hikmat.

8

Tetapi sebenarnya Roh Allah Yang Maha Kuasa

yang memberikan hikmat kepada manusia.

9

Orang menjadi bijak, bukan kerana lanjut umurnya;

orang mengerti yang benar, bukan kerana tinggi usianya.

10

Oleh itu, dengarkanlah aku;

biarlah aku memberitahu kamu pendapatku.

11

Aku mendengar dengan sabar ketika kamu bercakap,

dan menunggu ketika kamu mencari kata-kata bijak.

12

Aku memperhatikan dan mendengar kamu menemui kegagalan.

Kesalahan dalam kata-kata Ayub tidak dapat kamu buktikan.

13

Bagaimana kamu dapat mengatakan kamu telah mendapatkan hikmat?

Allah mesti menjawab Ayub, kerana kamu telah gagal.

14

Ayub berkata-kata kepada kamu, bukan kepada aku,

tetapi aku tidak sekali-kali akan menjawab seperti kamu.

15

Ayub, mereka bingung dan tidak dapat memberikan jawapan;

tiada lagi yang dapat dikatakan mereka.

16

Haruskah aku terus menunggu, ketika mereka berdiam diri?

Mereka berdiri di situ dan tidak dapat berkata apa-apa lagi.

17

Tidak, kini aku hendak memberikan pendapatku,

dan memberitahu kamu fikiranku.

18

Aku tidak sabar lagi menunggu.

Aku tidak dapat menahan kata-kataku.

19

Jika aku tidak bercakap, aku akan meletup,

seperti kirbat kulit yang berisikan wain baru.

20

Aku mesti bercakap supaya hatiku tenang;

aku mesti membuka mulut dan memberikan jawapan.

21

Aku tidak akan menyebelahi sesiapa pun;

aku tidak akan memuji sesiapa pun.

22

Cara memuji pun aku tidak tahu.

Jika aku berbuat begitu, Allah akan segera menghukum aku.

Link: