:

Ibrani 1

Allah Berfirman melalui Anak-Nya 1

Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara.

2

Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Melalui Anak-Nya inilah Allah menciptakan alam semesta. Allah sudah menetapkan bahawa Anak-Nya inilah yang berhak memiliki segala sesuatu pada akhirnya.

3

Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa. Setelah Dia memungkinkan manusia dibebaskan daripada dosa, Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi.

Keagungan Anak Allah 4

Anak itu mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada malaikat, dan nama yang diberikan oleh Allah kepada-Nya pun jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat.

5

Tidak pernah Allah berfirman kepada mana-mana malaikat-Nya,

"Engkaulah Anak-Ku;

pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu." Tidak pernah Allah berfirman tentang malaikat yang mana pun begini,

"Aku akan menjadi Bapa-Nya,

dan Dia akan menjadi Anak-Ku."

6

Tetapi pada masa Allah mengutus Anak-Nya yang sulung ke dunia ini, Dia berfirman,

"Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu."

7

Tentang malaikat-malaikat, Allah berfirman demikian,

"Allah menjadikan malaikat-malaikat-Nya angin,

dan hamba-hamba-Nya nyala api."

8

Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman,

"Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya!

Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan.

9

Engkau suka akan keadilan,

dan benci akan kecurangan;

itulah sebabnya Allah, Allah-Mu, memilih Engkau

dan memberi Engkau kehormatan

yang mendatangkan kegembiraan yang jauh lebih besar

daripada yang diberikan-Nya kepada sahabat-sahabat-Mu."

10

Allah juga berfirman,

"Engkau, ya Tuhan, pada mulanya menjadikan bumi,

dan dengan tangan-Mu sendiri Engkau menjadikan langit.

11

Semua itu akan lenyap,

dan menjadi usang seperti pakaian;

tetapi Engkau tidak akan berubah.

12

Alam semesta Engkau lipat seperti jubah,

dan akan Engkau ganti seperti pakaian.

Tetapi Engkau tidak akan berubah,

dan hidup-Mu tidak akan berakhir."

13

Allah tidak pernah berfirman kepada malaikat-Nya yang mana pun begini,

"Duduklah di sebelah kanan-Ku,

sehingga musuh-musuh-Mu

Aku jadikan alas kaki-Mu."

14

Jika demikian, apakah sebenarnya malaikat-malaikat itu? Mereka roh yang berbakti kepada Allah, dan yang disuruh oleh-Nya untuk menolong orang yang akan menerima penyelamatan.

Link: