:

Mazmur 101

Janji Seorang Raja kepada Allah 1

Mazmur Daud.

Aku menyanyi tentang kesetiaan dan keadilan,

aku menyanyikan lagu ini untuk-Mu, ya TUHAN.

2

Aku akan menjaga kelakuanku supaya tidak bercela.

Bilakah Engkau akan datang kepadaku?

Aku akan hidup suci di rumahku;

3

aku tidak akan membiarkan kejahatan berlaku.

Aku benci akan tindakan orang yang murtad;

aku tidak mahu berhubungan dengan mereka.

4

Aku tidak akan berlaku curang;

aku tidak akan terlibat dalam kejahatan.

5

Orang yang memfitnah dengan diam-diam

akan aku binasakan;

orang yang sombong dan angkuh

tidak akan kubiarkan begitu.

6

Aku berkenan akan orang yang setia kepada Allah;

mereka akan kubenarkan tinggal di dalam istanaku;

orang yang benar-benar jujur

akan aku benarkan melayani aku.

7

Pendusta tidak akan tinggal di dalam istanaku;

orang munafik tidak akan berada di hadapanku.

8

Tiap-tiap hari aku akan membinasakan

orang jahat di negeri kita;

aku akan mengusir semua orang jahat

dari kota TUHAN.

Link: