:

Mazmur 147

Pujian untuk Allah Yang Maha Kuasa 1

Pujilah TUHAN!

Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Allah kita;

memang elok dan patut kita memuji Dia.

2

TUHAN sedang memulihkan Yerusalem;

Dia sedang membawa orang Israel kembali dari pembuangan.

3

Dia menyembuhkan orang yang hancur hati,

dan membalut luka mereka.

4

Dia telah menentukan jumlah bintang,

dan memberikan nama setiap bintang.

5

Sungguh agung dan perkasa Tuhan kita;

kebijaksanaan-Nya tidak terhingga.

6

Dia memberikan kuasa kepada orang yang tertindas,

tetapi Dia mengalahkan dan mempermalukan orang jahat.

7

Nyanyikanlah lagu pujian untuk TUHAN,

dan mainkanlah kecapi untuk Allah kita.

8

Dia membentangkan awan di langit;

Dia menurunkan hujan ke bumi,

dan menumbuhkan rumput di bukit.

9

Dia memberikan makanan kepada binatang,

dan kepada anak burung gagak yang menciap-ciap.

10

Dia tidak suka akan kuda yang kuat,

ataupun askar yang berani;

11

tetapi Dia suka akan orang yang menghormati-Nya,

orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal.

12

Pujilah TUHAN, hai Yerusalem!

Pujilah Allahmu, hai Sion!

13

Dia menguatkan pintu gerbangmu;

Dia memberkati umatmu.

14

Dia menjaga keamanan negerimu

dan memuaskan engkau dengan gandum yang terbaik.

15

Dia memberikan perintah kepada bumi,

dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera.

16

Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut,

Dia menghamburkan embun beku seperti menghamburkan debu.

17

Dia menurunkan hujan batu seperti kerikil;

tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu.

18

Kerana firman-Nya, air batu menjadi cair;

Dia meniupkan angin, maka air pun mengalir.

19

Dia memberikan firman-Nya kepada umat-Nya,

peraturan dan hukum-Nya kepada Israel.

20

Dia tidak berbuat demikian bagi bangsa lain;

mereka tidak mengenal hukum-Nya.

Pujilah TUHAN!

Link: