:

Mazmur 2

Raja Pilihan Allah 1

Mengapakah bangsa-bangsa membuat huru-hara

dan rakyat merancangkan yang sia-sia?

2

Raja-raja dunia memberontak,

para pemerintah berkomplot

menentang TUHAN dan raja pilihan-Nya.

3

Mereka berkata,

"Marilah kita bebaskan diri daripada kekuasaan mereka,

marilah kita gulingkan pemerintahan mereka."

4

Dari takhta-Nya di syurga TUHAN tertawa

dan mencemuh rancangan mereka.

5

Dia menegur mereka dengan marah,

dan menakutkan mereka dengan kemurkaan-Nya.

6

Dia berfirman, "Di Sion, bukit-Ku yang suci,

Aku telah menabalkan raja-Ku."

7

Raja bertitah, "Aku akan mengumumkan

apa yang dinyatakan oleh TUHAN.

Dia berfirman kepadaku, 'Engkaulah anak-Ku;

pada hari ini Aku menjadi Bapamu.

8

Mintalah, maka semua bangsa akan Kuberi kepadamu,

dan seluruh bumi akan Kujadikan milikmu.

9

Engkau akan menghancurkan mereka dengan pemerintahan tangan besi;

engkau akan menghancurkan mereka seperti periuk tanah.' "

10

Bertindaklah dengan bijak, hai raja-raja;

dengarlah amaran ini, hai pemerintah dunia!

11

Berbaktilah kepada TUHAN dengan hormat;

12

bersujudlah di hadapan-Nya dengan gementar;

jangan sampai TUHAN murka lalu kamu dibinasakan dengan tiba-tiba

kerana cepat sekali kemurkaan-Nya menyala.

Berbahagialah semua orang yang berlindung kepada-Nya!

Link: