:

Mazmur 28

Doa Minta Tolong 1

Mazmur Daud.

Ya TUHAN, pembelaku, aku berseru kepada-Mu.

Dengarlah teriakanku!

Jika Engkau tidak mengabulkan doaku,

aku seperti orang yang masuk ke lubang kubur.

2

Dengarkanlah aku ketika aku berseru meminta pertolongan,

aku mengangkat tanganku ke arah Rumah-Mu yang suci.

3

Janganlah hukum aku bersama dengan orang durjana,

bersama-sama orang yang melakukan kejahatan -

orang yang bermulut manis,

tetapi hati diliputi kebencian.

4

Hukumlah mereka kerana perbuatan mereka,

kerana segala kejahatan yang telah dilakukan mereka.

Hukumlah mereka kerana segala perbuatan mereka;

balaslah mereka dengan sepatutnya.

5

Mereka tidak mempedulikan perbuatan TUHAN,

mahupun segala ciptaan-Nya;

oleh itu TUHAN akan menghukum mereka

dan memusnahkan mereka selama-lamanya.

6

Pujilah TUHAN;

Dia telah mendengar permohonanku.

7

TUHAN melindungi dan membela aku;

aku percaya kepada-Nya.

Dia menolong aku dan menggirangkan hatiku;

aku memuji Dia dengan lagu kesyukuran.

8

TUHAN melindungi umat-Nya;

Dia membela dan menyelamatkan raja pilihan-Nya.

9

Ya TUHAN, selamatkanlah umat-Mu,

dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu.

Jadilah seperti gembala bagi mereka,

dan jagalah mereka selama-lamanya.

Link: