:

Mazmur 30

Doa Kesyukuran 1

Mazmur Daud. Lagu untuk pentahbisan Rumah TUHAN.

2

Aku memuji Engkau, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku

dan tidak membiarkan musuhku mentertawakan aku.

3

Aku berseru kepada-Mu meminta pertolongan, ya TUHAN, Allahku,

dan Engkau menyembuhkan aku.

4

Engkau menghalang aku turun ke alam maut,

dan menyelamatkan aku dari dunia orang mati.

5

Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN,

hai umat-Nya yang setia!

Ingatlah perkara yang telah dilakukan Yang Maha Suci

dan bersyukurlah kepada-Nya!

6

Kemurkaan-Nya hanya sekejap sahaja,

tetapi kebaikan-Nya berlangsung sepanjang umur.

Air mata mungkin mengalir pada waktu malam,

tetapi fajar membawa kegembiraan.

7

Ketika aku berasa selamat, aku berkata,

"Aku tidak akan dikalahkan."

8

Engkau sungguh baik kepadaku, ya TUHAN;

seperti gunung yang kuat Engkau melindungi aku.

Tetapi apabila Engkau menyembunyikan diri daripadaku,

aku berasa takut.

9

Aku berseru kepada-Mu, ya TUHAN;

aku memohon pertolongan,

10

"Faedah apakah yang Kauperoleh daripada kematianku?

Keuntungan apakah yang Kaudapat jika aku masuk ke lubang kubur?

Adakah orang mati memuji-Mu?

Dapatkah mereka memberitakan kesetiaan-Mu?

11

Dengarlah aku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku.

TUHAN tolonglah aku!"

12

Engkau telah mengubah kedukaanku menjadi tarian gembira;

Engkau telah mengambil kesedihanku dan meliputi aku dengan kegembiraan.

13

Maka aku tidak akan berdiam diri;

aku akan menyanyikan pujian kepada-Mu.

Ya TUHAN, Engkaulah Allahku,

aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.

Link: