:

Mazmur 34

Pujian bagi Kebaikan TUHAN 1

Mazmur Daud, ketika dia berpura-pura tidak waras fikiran di hadapan Abimelekh. Kemudian Daud pergi setelah diusir oleh Abimelekh.

2

Aku akan sentiasa bersyukur kepada TUHAN;

aku tidak akan berhenti memuji Dia.

3

Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya;

semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira.

4

Agungkanlah TUHAN bersama dengan aku,

marilah bersama-sama memuji nama-Nya.

5

Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku,

Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan.

6

Orang yang tertindas memandang Dia lalu bergembira;

mereka tidak sekali-kali akan kecewa.

7

Orang malang berseru dan TUHAN menjawab,

Dia membebaskan mereka daripada segala kesusahan.

8

Malaikat TUHAN mengawal orang yang menghormati-Nya,

dan menyelamatkan mereka daripada bahaya.

9

Rasakanlah sendiri betapa baiknya TUHAN!

Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!

10

Hormatilah TUHAN, hai semua umat-Nya,

kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan.

11

Singa juga lapar kerana kekurangan makanan,

tetapi orang yang mentaati TUHAN tidak kekurangan apa-apa yang baik.

12

Marilah, hai anak-anak semua dan dengarlah nasihatku,

aku akan mengajar kamu menghormati TUHAN.

13

Mahukah kamu menikmati hidup?

Mahukah kamu berumur panjang dan berbahagia?

14

Jangan keluarkan kata-kata jahat,

dan jangan suka berdusta.

15

Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik;

usahakanlah kedamaian dengan tekun.

16

TUHAN memperhatikan orang salih,

dan mendengar tangisan mereka;

17

tetapi Dia menentang orang yang berbuat jahat;

apabila mereka mati, mereka cepat dilupakan.

18

Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar

dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan.

19

TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati;

Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.

20

Orang baik mengalami banyak kesusahan,

tetapi TUHAN menyelamatkan mereka daripada semuanya;

21

TUHAN memelihara mereka dengan sempurna,

tulang mereka tidak satu pun patah.

22

Orang jahat akan mati kerana kejahatan mereka;

mereka yang membenci orang salih akan dihukum.

23

TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya,

mereka yang berlindung kepada-Nya akan diselamatkan.

Link: