:

Mazmur 56

Kepercayaan kepada Allah pada Waktu Kesusahan 1

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Merpati dari Daerah Jauh, yang Membisu. Mazmur Daud, pada masa orang Filistin menangkap dia di Gat.

2

Kasihanilah aku, ya Allah, kerana aku diserang;

musuh-musuhku menganiaya aku sepanjang masa.

3

Sepanjang hari lawanku menyerang aku;

banyak orang yang melawan aku.

4

Ketika aku takut, ya Allah Yang Maha Kuasa,

aku berharap kepada-Mu.

5

Aku percaya kepada Allah dan aku tidak takut;

aku memuji Dia kerana janji-Nya.

Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?

6

Sepanjang hari musuhku menyusahkan aku;

mereka sentiasa berusaha untuk mencelakakan aku.

7

Mereka berkumpul di tempat persembunyian,

dan mengawasi segala gerak-geriku,

sambil mencari kesempatan untuk membunuh aku.

8

Hukumlah mereka, ya Allah kerana kejahatan mereka,

dengan kemurkaan-Mu, binasakanlah mereka!

9

Engkau tahu betapa cemasnya hatiku;

Engkau tahu betapa banyaknya air mataku.

Bukankah semuanya itu tercatat di dalam kitab-Mu?

10

Pada hari aku berseru kepada-Mu,

mundurlah musuh-musuhku.

Aku tahu bahawa Allah memihak aku.

11

Aku memuji TUHAN Allah kerana janji-Nya.

12

Aku percaya kepada-Nya dan aku tidak takut.

Apakah yang dapat dilakukan manusia kepadaku?

13

Ya Allah, aku akan menepati janjiku kepada-Mu,

aku akan mempersembahkan korban kesyukuran kepada-Mu.

14

Engkau telah menyelamatkan aku daripada kematian,

dan menjauhkan aku daripada kekalahan.

Oleh itu, aku dapat hidup dalam perlindungan Allah,

dalam cahaya yang menerangi semua yang hidup.

Link: