:

Titus 3

Kelakuan Orang Kristian 1

Ingatkan anggota jemaahmu supaya taat kepada pemerintah dan penguasa, patuh kepada mereka dan bersedia melakukan segala perkara yang baik.

2

Beritahu jemaahmu supaya tidak mengumpat ataupun bertengkar dengan sesiapa pun, tetapi bersikap ramah tamah dan lemah lembut kepada semua orang.

3

Kita harus bersikap demikian, kerana dahulu kita juga bodoh, tidak taat, dan sesat. Kita diperhamba oleh berbagai-bagai nafsu dan keinginan. Hidup kita dipenuhi dengan perasaan dengki dan cemburu, dan kita saling membenci.

4

Tetapi Allah, Penyelamat kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati-Nya kepada kita.

5

Dia menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh-Nya, yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita.

6

Allah melimpahkan Roh-Nya kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita,

7

supaya oleh rahmat-Nya, kita berbaik semula dengan Allah, dan kita menerima hidup sejati dan kekal yang kita harap-harapkan.

8

Kata-kata itu sungguh benar. Aku mahu engkau memberikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut, supaya orang yang percaya kepada Allah sungguh-sungguh berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan berguna bagi semua orang.

9

Tetapi jauhkanlah diri daripada perdebatan yang sia-sia, senarai nenek moyang, pertengkaran, dan perkelahian tentang Taurat. Semua itu sia-sia dan tidak berguna.

10

Berikanlah amaran kepada orang yang menyebabkan perpecahan dalam jemaah. Nasihatilah orang itu sekurang-kurangnya dua kali, setelah itu jauhilah dia.

11

Engkau tahu bahawa orang seperti itu jahat dan dosa-dosanya membuktikan dia bersalah.

Petunjuk-Petunjuk Terakhir 12

Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, berusahalah seboleh-bolehnya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah mengambil keputusan akan tinggal di sana pada musim sejuk.

13

Berusahalah seboleh-bolehnya untuk menolong Zenas, peguam itu dan Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan. Pastikanlah mereka tidak kekurangan apa-apa.

14

Hendaklah jemaah kita mengamalkan perbuatan baik supaya dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian hidup mereka berguna.

15

Semua saudara yang bersama-sama aku mengirim salam kepadamu. Sampaikanlah salam kami kepada sahabat-sahabat kita yang seiman. Semoga Allah memberkati kamu semua.

Link: