:

Yesaya 52

Allah Akan Menyelamatkan Yerusalem 1

Bangunlah, hai Yerusalem, bangunlah!

Kuatkanlah hatimu! Kenakanlah pakaian kebesaranmu!

Hai Yerusalem, kota yang suci,

orang najis tidak akan memasuki pintu gerbangmu lagi.

2

Bebaskanlah dirimu, hai Yerusalem!

Bangkitlah dan kebaskanlah debu yang melekat padamu.

Putuskanlah rantai yang mengikat leher kamu,

hai penduduk Sion yang tertawan!

3

TUHAN Raja berfirman kepada umat-Nya, "Ketika kamu menjadi hamba, kamu tidak dibeli dengan wang. Demikian juga ketika kamu dibebaskan, kamu tidak akan ditebus dengan wang.

4

Semasa kamu tinggal di Mesir sebagai orang bangsa asing, kamu pergi ke sana dengan kemahuan kamu sendiri. Lalu Asyur menawan kamu tanpa alasan.

5

Sekarang di Babilonia hal yang sama telah berlaku: kamu ditawan tanpa alasan. Mereka yang menawan kamu sentiasa memegahkan diri dan menghina Aku.

6

Pada masa yang akan datang, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah, dan bahawa Aku telah berfirman kepada kamu."

7

Betapa baiknya melihat kedatangan utusan,

dia datang melintasi pergunungan,

dan membawa berita baik, berita kedamaian!

Dia mengisytiharkan penyelamatan, dan berkata kepada Sion,

"Allahmu memerintah!"

8

Para pengawal kota berteriak-teriak,

mereka bersorak bersama-sama kerana sukacita.

Dengan mata sendiri mereka melihat

TUHAN kembali ke Sion.

9

Bersorak-soraklah, hai runtuhan Yerusalem!

TUHAN akan menyelamatkan kota-Nya

serta menghiburkan hati umat-Nya.

10

TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya yang suci

di hadapan semua bangsa.

Dia akan menyelamatkan umat-Nya,

dan seluruh bumi akan menyaksikannya.

11

Pergilah! Tinggalkanlah Babilonia,

hai kamu yang membawa perkakas Rumah TUHAN!

Janganlah sentuh apa-apa yang najis,

sucikanlah diri kamu dan berangkatlah.

12

Kamu tidak akan pergi tergesa-gesa

seperti orang yang melarikan diri.

TUHAN akan memimpin kamu,

Allah Israel akan melindungi kamu dari setiap penjuru.

Hamba yang Menderita 13

TUHAN berfirman,

"Hamba-Ku akan berjaya dalam tugasnya;

dia akan disanjung tinggi.

14

Dahulu banyak orang terperanjat melihat dia,

kerana rupanya dicacati sehingga tidak lagi seperti rupa manusia.

15

Tetapi sekarang bangsa-bangsa hairan melihat dia,

raja-raja terpegun kerana kagum.

Mereka akan melihat dan memahami perkara-perkara

yang belum pernah diketahui mereka."

Link: