:

Mazmur 53

Kejahatan Manusia 1

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Mahalat. Sajak Daud.

2

Orang bodoh berkata dalam hati,

"Tidak ada Allah!"

Mereka semua jahat dan perbuatan mereka keji;

tidak seorang pun melakukan yang baik.

3

Dari syurga Allah memandang umat manusia

untuk mencari orang yang bijak,

orang yang menyembah Dia.

4

Tetapi semua orang sudah menyeleweng dan sesat,

tidak seorang pun melakukan yang baik.

5

Allah bertanya, "Tidakkah orang jahat ini tahu?

Mereka hidup dengan merompak umat-Ku,

dan tidak pernah berdoa kepada-Ku."

6

Tetapi kemudian ketakutan meliputi mereka,

seperti yang belum pernah dialami mereka,

kerana Allah akan menyerakkan tulang musuh umat-Nya.

Allah sudah menolak musuh umat-Nya,

maka Israel akan mengalahkan musuh mereka.

7

Semoga penyelamatan bagi Israel

datang dari Sion!

Apabila Allah menjadikan umat-Nya makmur semula,

semua orang Israel akan bersukacita.

Link: