:

Mazmur 59

Doa Minta Perlindungan 1

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia.

2

Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku;

lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku!

3

Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu;

lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu!

4

Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku;

orang kejam berkumpul mengadang aku.

Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan,

5

bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN,

mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan.

6

Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku;

lihatlah sendiri, ya Allah Israel!

Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa;

jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam.

7

Pada waktu senja mereka pulang,

melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.

8

Dengarlah hinaan dan ancaman mereka.

Kata-kata mereka tajam seperti pedang;

mereka menyangka tiada orang yang mendengar.

9

Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka;

Engkau mengolok-olokkan semua bangsa.

10

Aku yakin akan kekuatan-Mu;

ya Allah, Engkaulah pernaunganku.

11

Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku;

Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku.

12

Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa.

Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka,

ya Tuhan, pelindung kami.

13

Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka,

biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka.

Kerana mereka menyumpah dan berdusta,

14

binasakanlah mereka semasa Engkau murka;

binasakanlah mereka semuanya.

Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel,

dan Dia memerintah semua orang di dunia.

15

Pada waktu senja musuh-musuhku pulang,

melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.

16

Mereka berkeliaran mencari makanan,

dan menggeram jika tidak kenyang.

17

Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu;

setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu.

Engkau telah menjadi pernaungan bagiku,

perlindungan pada masa kesusahanku.

18

Aku akan memuji Engkau, pembelaku;

Allah ialah pernaunganku,

Allah yang mengasihi aku.

Link: