Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung Kesaksian. Mazmur Raja Daud,
2
ketika baginda memerangi orang Aram-Mesopotamia dan orang Aram-Zoba, dan ketika Yoab pulang dan membunuh 12,000 orang Edom di Lembah Masin.
3
Ya Allah, Engkau telah menolak kami dan mengalahkan kami;
Engkau murka terhadap kami, tetapi kini kembalilah kepada kami!
4
Engkau telah menggempakan bumi sehingga belah;
perbaikilah yang pecah kerana bumi goyah.
5
Engkau telah menyebabkan umat-Mu mengalami penderitaan berat,
sehingga kami terhuyung-hayang seperti orang mabuk.
6
Engkau telah memberikan amaran kepada orang yang menghormati Engkau,
supaya mereka terlepas daripada kebinasaan.
7
Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu; kabulkanlah doa kami,
supaya umat yang Engkau kasihi diselamatkan.
8
Dari kediaman-Nya yang suci, Allah berfirman, "Aku akan bersorak dan membahagi-bahagikan tanah Sikhem, dan mengagihkan Lembah Sukot kepada umat-Ku.
9
Gilead dan Manasye kepunyaan-Ku,
Efraim topi besi-Ku,
dan Yehuda tongkat pemerintahan-Ku.
10
Tetapi Moab hanya tempat pembasuhan-Ku;
kepada Edom Aku lemparkan kasut-Ku, sebagai tanda bahawa Edom milik-Ku. Adakah orang Filistin berfikir bahawa mereka akan bersorak kerana mengalahkan Aku?"
11
Siapakah yang akan membawa aku ke dalam kota yang berkubu itu?