:

Mazmur 63

Rindu akan Allah 1

Mazmur Daud, semasa dia di padang gurun Yehuda.

2

Ya Allah, Engkaulah Allahku, aku rindu akan Engkau.

Seperti tanah tandus haus akan air, begitulah aku haus akan Engkau.

3

Izinkanlah aku melihat Engkau di Rumah-Mu,

serta melihat kuasa dan kemuliaan-Mu.

4

Kasih-Mu lebih berharga daripada hidup,

oleh itu aku memuji Engkau.

5

Aku bersyukur kepada-Mu seumur hidupku;

aku menadahkan tangan kepada-Mu sambil berdoa.

6

Jiwaku dijamu dan dipuaskan,

dan aku akan menyanyikan lagu-lagu pujian untuk-Mu.

7

Waktu aku berbaring di katil,

aku ingat akan Engkau;

sepanjang malam aku merenungkan Engkau,

8

kerana Engkau sentiasa menolong aku;

aku menyanyi dengan riang di bawah naungan sayap-Mu.

9

Aku berpaut kepada-Mu,

tangan-Mu yang kuat menopang aku.

10

Orang yang cuba membunuh aku

akan turun ke dunia orang mati;

11

mereka akan dibunuh dalam pertempuran,

dan mayat mereka dimakan serigala.

12

Raja akan bersukacita kerana Allah memberi raja kemenangan;

semua orang yang berjanji demi Allah akan bergembira,

tetapi suara pendusta akan disenyapkan.

Link: