:

Mazmur 64

Doa Minta Perlindungan 1

Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.

2

Aku dalam kesusahan, ya Allah - dengarlah doaku!

Aku takut kepada musuhku - selamatkanlah aku!

3

Lindungilah aku daripada komplot orang derhaka,

dan daripada rusuhan orang durjana.

4

Lidah mereka setajam pedang,

kata-kata mereka berbisa seperti anak panah beracun.

5

Mereka menyebarkan dusta dari tempat persembunyian;

mereka membinasakan orang baik dengan fitnah.

6

Mereka menggalakkan sesama sendiri untuk melakukan yang jahat;

mereka berunding tentang tempat memasang perangkap;

mereka menyangka tiada orang yang melihat.

7

Mereka membuat rancangan jahat dan berkata,

"Kita telah merancang jenayah yang licik sekali."

Sungguh dalamnya hati serta fikiran manusia,

sehingga tidak dapat diselami.

8

Tetapi Allah melepaskan anak panah-Nya terhadap mereka,

dan dengan serta-merta mereka cedera.

9

Dia akan membinasakan mereka kerana kata-kata mereka;

semua orang yang melihat mereka akan menggelengkan kepala.

10

Mereka akan ketakutan;

mereka memikirkan tindakan Allah,

dan memberitakan perbuatan-Nya.

11

Semua orang baik akan bergirang kerana perbuatan TUHAN;

mereka akan mendapat perlindungan daripada-Nya;

semua orang yang tulus akan memuji Dia.

Link: