:

Mazmur 79

Doa bagi Pembebasan Bangsa 1

Mazmur Asaf.

Ya Allah, orang yang tidak mengenal Engkau

telah menyerang tanah-Mu.

Mereka telah menajiskan

Rumah-Mu yang suci

dan meruntuhkan Yerusalem.

2

Mayat umat-Mu ditinggalkan mereka untuk dimakan burung pemakan bangkai.

Mayat hamba-hamba-Mu dibiarkan mereka untuk dimakan binatang liar.

3

Mereka menumpahkan darah umat-Mu seperti air;

darah mengalir di seluruh Yerusalem,

dan tiada orang yang tinggal untuk menguburkan orang mati.

4

Bangsa-bangsa di sekeliling mengejek kami;

mereka mentertawakan serta mengolok-olokkan kami.

5

Ya TUHAN, berapa lamakah Engkau akan murka terhadap kami?

Adakah kemurkaan-Mu akan terus membakar seperti api?

6

Murkailah bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau;

orang yang tidak berdoa kepada-Mu,

7

kerana mereka telah membunuh umat-Mu

dan merosakkan negeri-Mu.

8

Jangan hukum kami kerana dosa nenek moyang kami,

tetapi kasihanilah kami sekarang

kerana kami putus asa.

9

Tolonglah kami, ya Allah, penyelamat kami;

demi kehormatan-Mu sendiri,

selamatkanlah kami dan ampunkanlah dosa kami.

10

Jangan biarkan bangsa-bangsa lain bertanya,

"Di manakah Allah kamu?"

Hukumlah bangsa-bangsa itu di hadapan kami

kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Mu.

11

Dengarlah rintihan orang tawanan,

dan dengan kuasa-Mu yang besar, bebaskanlah mereka yang dihukum mati.

12

Ya Tuhan, balaslah bangsa-bangsa itu tujuh kali ganda,

bagi segala hinaan yang telah dilemparkan kepada-Mu.

13

Lalu kami, umat-Mu,

domba-domba-Mu,

akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya,

dan memuji-Mu sampai turun-temurun.

Link: