:

Mazmur 80

Doa bagi Pemulihan Bangsa 1

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Mazmur kesaksian Asaf.

2

Dengarlah kami, hai Gembala umat Israel;

Engkau yang mengetuai umat-Mu.

Engkau yang bertakhta di atas kerub,

3

tunjukkanlah diri-Mu

kepada suku Efraim, Benyamin, dan Manasye!

Nyatakanlah kuasa-Mu;

datanglah dan selamatkanlah kami!

4

Pulihkanlah kami, ya Allah!

Kasihanilah kami supaya kami selamat!

5

Ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa,

sampai bilakah Engkau murka dan tidak mendengar doa umat-Mu?

6

Engkau memberi kami kesengsaraan sebagai makanan,

dan air mata yang banyak sebagai minuman.

7

Engkau membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling berperang

kerana hendak merampas negeri kami;

musuh-musuh mengejek kami.

8

Pulihkanlah kami, ya Allah Yang Maha Kuasa.

Kasihanilah kami supaya kami selamat.

9

Engkau membawa umat-Mu yang seperti pokok anggur keluar dari Mesir;

Engkau mengusir bangsa-bangsa lain, lalu menanam pokok itu di negeri mereka.

10

Engkau menyediakan tanah baginya;

akarnya mendalam dan menjalar ke seluruh negeri itu.

11

Bayangnya meneduhkan bukit-bukit,

dan dahan-dahannya menutupi pokok sedar yang besar.

12

Cabang-cabangnya menjalar ke Laut Tengah,

pucuk-pucuknya sampai ke Sungai Efrat.

13

Mengapakah Engkau merobohkan pagar di sekelilingnya?

Kini sesiapa yang lalu di situ dapat mencuri buah anggurnya.

14

Babi hutan memijak-mijaknya,

dan binatang liar pun memakannya.

15

Berpalinglah kepada kami, ya Allah Yang Maha Kuasa.

Pandanglah kami dari syurga;

datanglah dan selamatkanlah umat-Mu!

16

Selamatkanlah umat-Mu yang seperti pokok anggur yang Engkau tanam,

pokok muda yang telah Engkau jadikan begitu kuat.

17

Musuh kami telah membakar dan memotong pokok itu;

biarlah mereka dibinasakan oleh kemurkaan-Mu!

18

Lindungilah dan peliharalah umat yang telah Engkau pilih,

bangsa yang telah Engkau jadikan begitu kuat.

19

Tidak sekali-kali kami akan meninggalkan Engkau lagi;

biarlah kami hidup, lalu Engkau akan kami puji.

20

Pulihkanlah kami, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa.

Kasihanilah kami supaya kami selamat.

Link: