:

Mazmur 86

Doa Minta Tolong 1

Doa Daud.

Dengarlah seruanku, ya TUHAN, dan kabulkanlah doaku,

kerana aku lemah dan tidak berdaya.

2

Selamatkanlah aku daripada maut, kerana aku setia kepada-Mu;

selamatkanlah aku, hamba-Mu yang percaya kepada-Mu.

3

Engkaulah Allahku; kasihanilah aku;

sepanjang hari aku berdoa kepada-Mu.

4

Ya Tuhan, gembirakanlah hati hamba-Mu,

kerana aku menaikkan doa kepada-Mu.

5

Ya Tuhan, Engkau baik dan suka mengampuni orang,

Engkau mengasihi mereka yang berdoa kepada-Mu.

6

Dengarlah doaku, ya TUHAN,

dengarlah aku minta pertolongan.

7

Ketika aku dalam kesusahan, aku berseru kepada-Mu

kerana Engkau mengabulkan doaku.

8

Tiada tuhan yang seperti Engkau, ya Tuhan,

tiada yang dapat melakukan apa yang Engkau lakukan.

9

Semua bangsa yang telah Engkau cipta akan datang, ya Tuhan,

untuk menyembah-Mu dan memuji kebesaran-Mu.

10

Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib;

hanya Engkaulah Allah.

11

Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN,

dan aku akan menurutnya dengan setia;

ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh.

12

Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Tuhan, Allahku;

aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya.

13

Betapa besarnya kasih-Mu untukku;

Engkau telah menyelamatkan aku dari kubur.

14

Ya Allah, orang sombong datang melawan aku;

sekumpulan orang kejam berusaha untuk membunuh aku;

mereka tidak mempedulikan Engkau.

15

Tetapi Engkau, ya Tuhan, Allah pengasih dan penyayang,

sentiasa sabar, baik, dan setia.

16

Pandanglah aku dan kasihanilah aku;

kuatkanlah aku dan selamatkanlah aku,

kerana aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu.

17

Ya TUHAN, buktikanlah kebaikan-Mu kepadaku,

maka mereka yang membenci aku akan tersipu-sipu,

ketika melihat Engkau menghiburkan dan menolong aku.

Link: